PARLIMEN l Kontraktor yang menguruskan parkir Yayasan Wilayah Persekutuan berjaya membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengutip RM20 juta melalui kutipan sejak pertengahan 2015.

Berdasarkan jawapan bertulis parlimen Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kontraktor baru yang dilantik pada 1 Julai 2015 itu mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding kontraktor sebelumnya.

Tengku Adnan berkata, kos menguruskan mesin parkir adalah RM17 juta setahun, sedangkan kontraktor sebelum ini hanya mengutip RM 10 juta.

“Ini menunjukkan usaha penswastaan memberi pulangan yang lebih baik kepada DBKL.

“Apalagi, teknologi yang digunakan dalam sistem parkir itu moden, sistematik dan mesra pengguna,” katanya sebagai jawapan kepada Tan Kok Wai (Cheras-DAP).

Yayasan Wilayah dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Umno.

Pengarah eksekutifnya merupakan Ketua Bahagian Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee sementara lembaga pemegang amanah termasuklah Tengku Adnan, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Bahagian Umno Seputeh Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa susulan pelantikan Yayasan Wilayah Persekutuan, harga parkir di sesetengah kawasan naik sehingga 150 peratus.

[Baca berita penuh]