KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil keputusan menswastakan kira-kira 6,000 tempat letak kereta bahu jalan bawah pentadbiran majlis itu kepada sebuah syarikat bermula 1 Julai lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu diambil kerana MBKT mengalami kerugian lebih RM2.4 juta dalam tempoh empat tahun ekoran masalah kerosakan.

Menurutnya, dengan penswastaan tersebut MBKT tidak lagi perlu menanggung kerugian sebaliknya menerima bayaran sekitar RM1.3 juta setahun manakala segala kerosakan pula akan ditanggung oleh syarikat berkenaan.

“Sistem tempat letak kenderaan yang kita guna adalah secara manual dan sudah berusia 20 tahun, jadi ia selalu rosak selain berlaku vandalisme. Kos baiki pula kena belanja RM9 juta tapi ia belum tentu dapat jana keuntungan.

“Jadi MBKT mahu naik taraf dengan sistem secara dalam talian lebih canggih tapi untuk itu MBKT perlu kos tinggi dan kita tiada kepakaran… jadi, kita swastakan kerana selain lebih efisyen ia juga beri pulangan tetap kepada MBKT setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) yang bertanya sama ada benar MBKT akan menswastakan tempat letak kereta berbayar dan apakah rasionalnya keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.

Menurut beliau, MBKT menerima enam permohonan dan memberi kelulusan kepada Vista Summerose Sdn Bhd, sebuah syarikat bumiputera yang turut berpengalaman menguruskan operasi kawasan letak kereta di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Selain itu Dr Alias berkata, walaupun sudah diswastakan namun nasib 70 kakitangan mengendalikan parkir itu terjamin dengan 34 pekerja diserap masuk ke dalam syarikat itu manakala selebihnya ditempatkan dalam jabatan lain.

“Walaupun sudah diswastakan tapi penguatkuasaan masih di bawah MBKT. Sistem baharu ini juga lebih canggih dengan pengguna perlu muat turun aplikasi dan bayar secara dalam talian, jadi tidak timbul soal tidak mahu bayar parkir,” katanya.

[Baca berita penuh]

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *